JOHOR BAHRU: Seorang wanita akan menjalani hukuman penjara 20 bulan selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan hukuman bagi lima pertuduhan dihadapinya berkaitan penipuan barangan elektrik membabitkan nilai keseluruhan RM5,235 tahun lalu, berjalan serentak.
RAKAMAN ADA DI BAWAH SEKALI
Tertuduh, Nurul Yasmin Rosli, 33, membuat pengakuan bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara dijalankan serentak dan memberitahu sudah berkahwin serta mempunyai seorang bayi berusia tujuh bulan.
“Saya mempunyai seorang bayi yang dilahirkan pada 26 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang dan suami tidak bekerja kerana perlu menjaga bayi,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad kemudian memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal ke atas tertuduh memandangkan perbuatan dilakukan wanita itu adalah kesalahan berulang.
Sementara itu, mengikut fakta kes, semua mangsa diperdaya selepas menghubungi nombor telefon yang tertera di laman Instagram ‘Beauty Saranghae’ melalui WhatsApp sebelum tempahan dan pembayaran dibuat, namun tidak menerima barangan seperti ditawarkan.
Pada masa sama, tertuduh kini masih menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang bagi kes-kes penipuan dilakukannya terdahulu.
Pada 13 September 2021, tertuduh bersama ibunya, Melati pernah didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas beberapa pertuduhan menipu penjualan barang elektrik dan perkakas dapur yang tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM41,645.
Selain itu, pada 14 Ogos 2019, tertuduh juga pernah didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas empat pertuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian sebanyak RM12,000 pada 2012 dan 2013.
Sumber BH