Luna Maya

“Sudah lima tahun anak sy kena culik dilarikan ke Thailand..” lbu dan lsteri harap Aiman ditemui

KOTA BHARU: “Sudah lima tahun anak lelaki saya diculik dan dibawa lari ke Thailand namun sehingga kini tiada khabar berita,” luah seorang ibu.

Wan Shahrizal Wan Zulkifli, 55, bagaimanapun masih percaya anak ketiga dari empat adik-beradik itu masih hidup.

Wan Shahrizal merupakan ibu kepada Mohd Aiman Zafri, 29, yang kisah penculikannya oleh individu yang dipercayai anggota kumpulan sindiket pernah mendapat liputan media pada 2018.

Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan anaknya itu termasuk mencari di serata tempat di selatan Thailand.

“Anak bersama menantu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki menghimpit dan mengambil anaknya di hadapan sebuah kedai runcit, di jalan Taman Maju di sini.

“Kumpulan terbabit mengambil Aiman menaiki kereta jenis Kia Sportage berwarna hitam dan meninggalkan isterinya di jalan berkenaan.

“Seminggu selepas itu, kumpulan terlibat meminta wang tebusan berjumlah RM50,000 namun keluarga saya hanya dapat membayar RM22,000,” katanya.

Wan Shahrizal berkata pembayaran pertama berjumlah RM20,000 dibuat pada 14 Julai 2017 dengan meletakkan duit berkenaan di satu perhentian bas di Batu Karang, Rantau Panjang sekitar jam 5 petang.

Selang beberapa hari penjenayah meminta wang lagi berjumlah RM5,000, namun dia hanya mampu menyediakan RM2,000 dengan memasukkan wang berkenaan melalui akaun bank milik isteri salah seorang rakan Mohd Aiman.

“Kesemua panggilan meminta wang tebusan itu menggunakan nombor telefon Thailand, namun selepas membayar wang yang diminta, sehingga kini mereka tidak menghantar Aiman seperti yang dijanjikan,” jelasnya lagi.

Sepanjang kehilangan anaknya itu, tujuh laporan polis sudah di buat.

“Saya tak tolak kemungkinan Aiman dan rakannya dikenali sebagai ‘Pok Wae’ ada kaitan dan mempunyai hutang dengan kumpulan tertentu, tetapi Aiman tak pernah ceritakan sehinggalah Aiman dibawa lari,” tambahnya.

Luahan Isteri Aiman, Nur Azra :

“Nak kata saya masih berharap kepulangan suami pun tidak juga memandangkan sudah lima tahun berlalu, apatah lagi suami dibawa lari ke Thailand, macam-macam boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Azra berkata, sebelum ini dia sering kali bertanyakan perkembangan suaminya kepada pihak polis, namun sejak tiga tahun lalu dia tidak lagi berbuat demikian memandangkan pihak berkuasa juga tidak menemui sebarang petunjuk.

“Kejadian yang berlaku membabitkan ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, baru-baru ini mengingatkan kembali apa yang berlaku kepada saya.

“Saya memahami perasaan keluarga Rosnazirah, mereka baru mengalami selama seminggu, namun saya sudah mengalaminya sejak lima tahun lalu.

“Namun, secara jujurnya saya tidak boleh membaca sebarang berita berkaitan kes ejen kosmetik itu kerana ia mengingatkan kepada saya kejadian yang menimpa suami. Disebabkan itu seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengambil tahu pasal kes itu,” katanya.

Pada waktu itu pihak polis membuka siasatan dan mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Pok Wae yang merupakan suspek utama kes culik berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu pada waktu itu, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, suspek yang dikenali sebagai Ahmad Syazwan Ayub, dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Katanya siasatan lanjut menunjukkan suspek utama itu bersama empat lagi lelaki membawa mangsa ke pekan Sungai Golok selepas kejadian itu.

Pihak polis juga telah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 26 tahun yang merupakan kenalan kepada mangsa pada waktu kejadian itu.

Walaupun bantuan Interpol dan juga pihak berkuasa Thailand membantu mengesan Aiman dan rakannya Pok Wae, sehingga kini kedua-dua individu berkenaan masih gagal dikesan.

Sumber Awani & Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *