JOHOR BAHRU: Keluarga mangsa insiden bunuh isteri dan bayi lelaki, semalam tidak menyimpan dendam dan sudah memaafkan suspek serta keluarganya.
Bapa mangsa, Rosman Ahmad, 58, berkata besannya berkali-kali meminta maaf susulan insiden yang meragut nyawa anak ketiganya, Hajar Nursyahirin, 26 dan cucu lelaki, Hans Mohd Thakif Amir, berusia kira-kira dua bulan itu.
“Sejak semalam, dia (bapa suspek) jumpa saya dan berkali-kali minta maaf. Saya maafkan sebab bukannya kita boleh menghakimi sesuatu benda yang kita tidak tahu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.
Ditanya mengenai majlis persandingan pasangan itu dan majlis aqiqah bayi lelaki itu yang dijadualkan pada 24 Julai ini, Rosman berkata, ia dibatalkan.
Namun, majlis pernikahan anak keduanya yang sepatutnya berlangsung sehari sebelum itu akan diteruskan dan turut diadakan majlis tahlil.
Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, di sini, dijadualkan petang ini.
Johor Bahru: Polis mengesahkan suspek bunuh isteri dan bayi lelaki yang ditahan semalam, bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ia berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan suspek sejurus penahanan.
“Suspek disahkan negatif dadah dan motif kejadian itu masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengenai dakwaan suspek mungkin kemurungan yang mendorong tindakan itu, Raub tidak mengulas lanjut.
“Nanti saya ‘update’ (maklumkan perkembangan),” katanya.
Polis menahan suspek berusia 25 tahun di kawasan Permas Jaya pada 2.45 petang semalam selepas disyaki mengelar isteri dan anak lelakinya hingga meninggal dunia di Kampung Bakar Batu.
Sejurus kejadian, suspek dikatakan melarikan diri dalam keadaan bogel dengan menunggang motosikal, hingga video dan gambarnya tersebar di media sosial.
Sumber BH