YAN – Mayat lelaki warga emas yang hilang dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini pada Rabu lalu ditemui di bawah timbunan batang pokok di sebuah chalet dekat Air Terjun Batu Hampar, hari ini.
Mayat mangsa, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, ditemui anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tersebut kira-kira pukul 3.23 petang.
Mangsa yang merupakan bekas imam Masjid Yan dekat sini ditemui di bawah timbunan batang pokok di kawasan sungai yang baru terbentuk berhampiran Sungai Batu Hampar.
Keadaan mayat mangsa kelima itu didapati hanya mengalami kesan calar dan tiada luka serius walaupun telah dihanyutkan arus deras bersama batang pokok dan kayu besar.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan mengiring menghadap kiblat kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang iaitu di rumahnya di Chalet Salak Denai.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Sayani Saidon memberitahu, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa kira-kira lima minit kemudian.
Katanya, mayat Ku Shuib kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Yan untuk proses selanjutnya.
Untuk rekod, dalam kejadian kepala air yang berlaku pada Rabu, tujuh mangsa dilaporkan hilang dengan seorang ditemui selamat manakala empat yang lain ditemui maut, sebelum ini.
Mangsa yang ditemui maut sebelum ini disahkan sebagai Ahmad Din, 68, yang ditemui di Kampung Setoi manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8 Gunung Jerai pada jam 11 malam pada hari kejadian.
Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun pada jam 12.30 tengah malam Khamis manakala mangsa keempat, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui pada Khamis di Kampung Keda Sungai Udang kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Dengan penemuan mayat mangsa kelima hari ini, pasukan SAR kini menumpukan usaha mencari mangsa terakhir yang dikenali sebagai Riduan di kawasan Titi Hayun.
Sumber Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia & Kosmo