Melaka: ‘Senjata makan tuan’. Itu terjadi kepada seorang lelaki warga emas yang maut akibat rusuk kanannya terhiris parang selepas terjatuh dari pokok nangka di rumahnya di Batu 8, Kampung Paya Rumput, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Yap Ah Keo, 64, meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah ketika cuba berjalan untuk meminta pertolongan di hadapan rumahnya.
“Ketika menebang tiba-tiba dahan itu patah menghempap mangsa hingga jatuh bersama tangga,” katanya dihubungi di sini.
Christopher berkata, mangsa cuba bangun sebelum mendapati darah mengalir dari rusuk kanannya akibat terkena mata parang sepanjang 30 sentimeter itu.
Katanya, mangsa berjalan ke rumahnya untuk meminta pertolongan dan sempat mencuci luka di paip sambil memanggil isterinya.
“Selepas itu, mangsa dikatakan berjalan untuk masuk ke rumah, namun baru lima langkah dia rebah tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sumber HM