Luna Maya

Rakaman CCTV kelibat wanita mirip Zalina Azman, sempat buka ‘mask’ depan kaunter hotel

Baru-baru kecoh di media sosial mengenai kehilangan bekas pembaca berita, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan gagal dikesan keberadaannya sejak November tahun lalu benar-benar mengejutkan ramai.

RAKAMAN VIDEO CCTV ADA DI BAWAH SEKALI

Susulan daripada berita yang tular tersebut, ramai rakan artis meluahkan kesedihan sehingga ada yang memulakan misi mencari sahabat mereka di sekitar Shah Alam semalam.

Terbaru, berita kehilangan bekas personaliti TV3 itu seolah-olah mendapat satu petunjuk baharu apabila seorang individu mendakwa dirinya melihat wanita berusia 57 tahun itu pada Ahad lalu.

“Pekerja yang lain meminta wanita tersebut untuk duduk dan tenangkan diri dulu sebelum membuat pesanan.”maklum lelaki itu.

Apa yang mengejutkan apabila wanita tersebut memberitahu dirinya takut pada besi dalam keadaan ketakutan seperti ada insiden yang berlaku melibatkan benda itu dalam hidupnya. Pun begitu, Mosyuki berkata reaksi wanita tersebut berkemungkinan kerana kedainya mempunyai besi yang banyak terutama di pintu masuk.

Lebih menyedihkan apabila mereka melihat wanita tersebut berjalan dengan laju seperti tanpa arah tuju tetapi seolah-olah mencari sesuatu.

Tambah Mosyuki yang juga seorang penulis, insiden yang berlaku itu membuatkan dirinya tersentak apabila memikirkan keadaan wanita tersebut selepas membaca berita kehilangan bekas personaliti TV3 itu.

Tanpa melengahkan waktu, lelaki itu terus bergegas ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam bagi memaklumkan kejadian berkenaan. Selepas memaklumkan hal tersebut, Mosyuki terkejut apabila mengetahui butiran berkaitan perwatakan, saiz tubuh badan dan warna kulit sama seperti bekas pembaca berita yang dilaporkan hilang.

Meskipun belum dipastikan wanita tersebut adalah bekas personaliti yang hilang, namun dia berharap agar pihak polis dapat menyemak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut bagi membantu misi pencarian Zalina Azman.

Terdahulu, anak kepada Zalina, Mikhael Norman telah membuat laporan polis berhubung kehilangan ibunya. Hal tersebut disedari apabila gagal menghubungi wanita berkenaan ketika mahu memberitahu tentang keadaan kesihatan datuknya yang dimasukkan ke hospital pada 24 November tahun lalu.

Pemeriksaan mendapati rumah beliau tidak tersusun dan menemui beg duit milik Zalina yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kunci dan wang tunai RM600. Bagaimanapun, bekas pembaca berita itu tidak dijumpai.

SHAH ALAM: Polis mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dekat sebuah hotel di sini serta gambar dikatakan mirip bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak 29 November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, bagaimanapun wanita yang dirakam menerusi CCTV pada 18 Julai itu disahkan sebagai seorang gelandangan, bukan Zalina.

Menurutnya, rakaman daripada CCTV juga diperoleh daripada seorang pemilik kafe di Seksyen 9 yang sebelum ini mendakwa seorang wanita mirip gambar Zalina yang diuar-uarkan polis.

“Pihak kami sudah semak dengan pekerja cafe tersebut dan dapati yang datang ke sana adalah gelandangan yang ditemukan di tasik Seksyen 2 (Tasik Shah Alam, Seksyen 14). Pada dua hari lepas saya jumpa di tasik tersebut.

“Semua (rakaman CCTV) adalah orang yang sama, bukan OH (Orang Hilang),” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Zalina Shaharah Azman, 58, dilaporkan hilang oleh Polis Shah Alam yang menguar-uarkan makluman mengenai kehilangan bekas pengacara rancangan ‘Money Matters’ itu pada Isnin lalu.

Dalam laporan berkenaan, Zalina disifatkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

Mohd. Iqbal dalam satu kenyataan memaklumkan laporan kehilangan wanita itu telah dibuat keluarga sejak 29 November 2021 apabila anaknya dikatakan cuba menjejaki ibu untuk memaklumkan bapanya yang dimasukkan ke hospital.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan tiada laporan polis terbaharu dibuat oleh orang awam yang memberi petunjuk dalam pencarian graduan sarjana kewartawanan itu.

“Tiada, semakan dapati tiada mana-mana individu tampil membuat laporan polis. Betul, mereka (pemilik cafe dan hotel) tidak salah, sebaliknya berniat baik untuk membantu.

“Pihak polis memang mengalu-alukan ramai untuk menyalurkan maklumat sehingga Zalina berjaya ditemukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Iqbal turut memaklumkan keluarga Zalina kini tidak lagi tinggal di Shah Alam, walau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi terkini tempat tinggal mereka.

“Bukan Shah Alam, tetapi maaf saya tak dapat beritahu,” katanya.

Tonton Video : SILA KLIK DI SINI

Sumber: Utusan, mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *