TAWAU – Rakaman insiden kebakaran melibatkan lebih 700 buah rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, menjadi tular di media sosial hari ini.
RAKAMAN VIDEO KEJADIAN KEBAKARAN ADA DI BAWAH SEKALI
Menerusi video yang dikongsikan oleh warganet, dapat dilihat keadaan api yang marak menjilat rumah penduduk yang terlibat disertai kepulan asap tebal yang meliputi kawasan berkenaan.
Rata-rata penduduk cuba menyelamatkan harta dan barangan berharga masing-masing dengan memindahkan di kawasan yang selamat.
Memetik laporan RTM Sabah, operasi berkenaan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sementara itu, bantuan segera kepada mangsa telah dilancarkan oleh Pesuruhjaya RELA (PjR) Kehormat, Tan Sri Datuk Liew Yun Fah yang berupa keperluan makanan dan minuman.
Sebanyak 100 kotak air minuman, 50 kotak biskut dan 400 bungkus nasi serta lauk telah diedarkan kepada mangsa-mangsa kebakaran Batu 4. Para mangsa dikatakan keluar sehelai sepinggang setelah api merebak di tempat tinggal mereka.
Melalui kemaskini di laman Facebook, Liew turut berharap agar badan-badan bukan kerajaan atau syarikat swasta juga tampil memberi bantuan untuk meringankan beban mangsa yang terkesan.
Tonton Video :
— Masidi Manjun (@MasidiM) March 17, 2022
Sumber: Facebook, Bernama, RTM