Yang di-Pertuan Agong masih belum memutuskan siapa akan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, namun persaingan untuk kerusi nombor dua dilihat sudah bermula.
Dengan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dikatakan mungkin dilantik sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan baru, propaganda mula dimainkan dengan mendakwa timbalannya adalah dari Bersatu .
Antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu termasuk Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin, dan anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Redzuan Md Yusof dan Azmin Ali.
Ketiga-tiganya adalah bekas menteri kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang diketuai Muhyiddin Yassin.
Menurut Utusan Malaysia, kumpulan yang mengaku sebagai penggerak awal Bersatu hari ini mendesak agar jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada parti itu.
Mereka mencadangkan Redzuan, yang merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah, dilantik bagi jawatan itu.
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dibantu oleh seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu yang benar-benar faham tentang hala tuju tersebut.
“Calon yang difikirkan paling layak adalah Mohd. Redzuan yang mana beliau sebelum ini adalah Menteri Tugas-tugas Khas.
“Beliau juga antara pimpinan Bersatu yang paling awal membina parti bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin atau digelar sebagai pengasas 12. Sudah tentu Mohd. Redzuan antara orang yang amat faham perjuangan parti,” dakwa kenyataan berkenaan yang dipetik oleh Utusan.
Semalam, terdapat khabar angin bahawa persetujuan telah dicapai antara parti-parti politik bahawa Ismail akan dilantik sebagai perdana menteri manakala Hamzah sebagai timbalannya.
Namun, khabar angin itu disangkal seorang anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Abdul Latiff Ahmad, yang menyifatkan dakwaan itu merupakan usaha untuk mengganggu gugat perpaduan yang telah dicapai oleh parti-parti tersebut.
“Itu hanyalah fitnah untuk mengeruhkan perpaduan yang sedang dijalin oleh semua parti yang menyokong pencalonan (Ahli Parlimen) Bera,” katanya, seperti yang dipetik oleh portal pnbbcportal.com.
Nama lain yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri ialah Azmin, yang sebelum ini bersama PKR sebelum menyertai Bersatu susulan krisis politik yang dicetuskan daripada Langkah Sheraton tahun lalu, yang menyaksikan kejatuhan Pakatan Harapan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong meminta semua anggota parlimen mengemukakan nama pilihan mereka untuk dilantik sebagai perdana menteri baru, berikutan pengunduran Muhyiddin pada Isnin lalu.
Tarikh tutup bagi para anggota parlimen mengemukakan Akuan Berkanun mereka ditetapkan pada jam 4 petang semalam, sebelum Seri Paduka memanggil 114 anggota parlimen yang dikatakan menyokong Ismail ke Istana Negara hari ini.
Difahamkan, Agong telah berkenan menerima menghadap anggota parlimen seorang demi seorang sejak pagi tadi untuk mengesahkan sokongan mereka.
Agong mahu pastikan 114 MP tak sokong Ismail di bawah tekanan
Pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan 114 ahli parlimen hari ini adalah untuk memastikan bahawa mereka tidak memberikan sokongan kepada ahli parlimen Bera di bawah tekanan.
Ahli-ahli parlimen yang menghadap Yang di-Pertuan Agong memberitahu bahawa dalam pertemuan itu, baginda meminta mereka mengesahkan kandungan akuan berkanun (SD) mereka yang menyokong Ismail dan apakah mereka menandatanganinya secara sukarela atau di bawah tekanan.
“Yang di-Pertuan Agong telah memanggil ahli parlimen yang telah membuat perakuan sumpah untuk mengesahkan pertama sekali kandungan sumpah dan mengesahkan bahawa pilihan kami ini, adakah ia atas rela hati.
“Kami ada 18 orang (dari GPS), dan mengesahkan bahawa kita telah memilih calon perdana menteri dan mengesahkan bahawa calon yang kita pilih ini atas rela hati daripada setiap ahli parlimen,” kata ahli parlimen Petra Jaya dari GPS, Fadilah Yusof kepada pemberita di Kuching.
Fadilah berkata semua ahli parlimen GPS kecuali ahli parlimen Bintulu Tiong King Sing menghadap Yang di-Pertuan Agong secara seorang demi seorang menerusi persidangan video.
Tiong kini di Kuala Lumpur dan menghadap Yang di-Pertuan Agong secara bersemuka bersama ahli-ahli parlimen yang lain.
Fadilah tidak mendedahkan calon yang dipilih GPS tetapi difahamkan, mereka memilih Ismail.
Hal ini kerana hanya ahli-ahli parlimen dalam kalangan majoriti yang dipanggil menghadap ke Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Seramai 105 ahli parlimen yang menyokong presiden PKR Anwar Ibrahim tidak menerima jemputan berkenaan.
Sokongan 114 ahli parlimen buat Ismail sudah lebih tiga sokongan daripada 111 sokongan yang diperlukan untuk mencapai majoriti mudah.
Sementara itu, ahli parlimen Pontian dari Umno, Ahmad Maslan turut mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mahu tahu apakah ahli-ahli parlimen terlibat menyokong Ismail secara sukarela.
“Tujuan menghadap ini saya difahamkan untuk mengesahkan SD yang telah dibuat, di hadapan Yang di-Pertuan Agong, adakah kita sukarela membuat akuan itu ada di bawah tekanan dan lain-lain.
“Kalau saya sendiri, tentunya saya sukarela mencadangkan Ismail sebagai perdana menteri.
“Saya yakin kepada keupayaan beliau, saya dah kenal beliau lama,” kata Ahmad kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Setelah Yang di-Pertuan Agong mengesahkan sokongan diterima Ismail, baginda akan mengadakan pertemuan khas dengan raja-raja Melayu untuk berbincang mengenai hal berkenaan.
Sumber MalaysiaKini