Luna Maya

Kenapa tularkan kami selepas setuju bayar harga tersebut?

Langkawi: Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa terkilan selepas pelanggan berperwatakan alim bertindak menularkan harga ikan siakap di restorannya terlampau mahal.

Malah dia turut mempersoalkan tujuan sebenar pelanggan terbabit yang menularkan perkara itu selepas bersetuju membayar harga yang dikenakan pada hari kejadian.

“Saya betul-betul tak sangka orang yang berperwatakan alim dan warak sanggup buat kerja seperti ini, sedangkan dia sendiri yang pilih ikan segar dalam sangkar untuk dimasak.

“Sepanjang lapan tahun berniaga di sini, saya dan kakitangan tidak pernah memaksa pengunjung memilih ikan besar untuk menjamu selera di restoran ini.

“Malah, ketika mengambil pesanan kami akan beritahu berat ikan dikira dalam sukatan gram dan setiap menu lengkap tertera harga dengan jelas,” katanya.

Beliau berkata, selepas selesai makan kumpulan sembilan pelancong terbabit tidak datang berjumpanya untuk bertanyakan mengenai harga yang dikenakan.

“Ketika melangkah meninggalkan restoran mereka juga tidak cakap apa-apa mengenai bayaran yang pihak kami kenakan ke atas ikan siakap yang dimasak menu tiga rasa dan stim limau itu.

“Sebenarnya ikan siakap yang mereka pilih itu seberat 7.48 kilogram berusia 11 tahun dan dipelihara untuk dipertontonkan sebagai tarikan pengunjung restoran,” katanya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata, pihaknya sedang menyiasat dan mengumpul maklumat kejadian daripada pengadu dan peniaga.

“Maklumat sudah diperolehi dari kedua-dua pihak dan siasatan lanjut sedang dijalankan secara adil,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *