Luna Maya

Gambar: Jenazah Benjy selamat disemadikan di Medan

Jenazah Benjy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pasar 4, Klambir Lima Kampung , Medan Indonesia kira-kira jam jam 12 tengah hari (waktu Malaysia) tadi.

Adik arwah, Inessa Irdayanty dan Elza Irdalynna berkata, semua urusan pengebumian selesai kira-kira 45 minit kemudian.

“Kami berkesempatan menyaksikan acara pengembumian sebagai sebuah keluarga melalui panggilan video WhatsApp dengan pihak pengurusan penjara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata kedua beradik itu, pihak penjara Tanjung Gusta di Medan turut memaklumkan tiada kos dikenakan untuk pengebumian tersebut kerana semua bayaran sudah diselesaikan.

“Terima kasih buat semua yang menawarkan sumbangan untuk bayaran perkhidmatan pengebumian.

“Jika anda masih berharap untuk menyumbang, kami mohon anda sedekahkan pilihan amal kebajikan yang diingini atas nama Ben (Benjy) dan sedekahkan al-Fatihah pada rohnya,” kata mereka.

Pada masa sama, Inessa Irdayanty dan Elza Irdalynna berkata, mereka amat berterima kasih kepada pihak penjara atas setiap bantuan dan urusan berkaitan Benjy.

Memiliki nama sebenar Khaeryll Benjamin Ibrahim, anak seniwati Allahyarham Azean Irdawaty itu menjalani hukuman penjara di Indonesia sejak 2017.

Dia dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Medan semalam kerana mengalami kesukaran bernafas kesan daripada asma kronik.

Dia meninggal dunia ketika usianya mencecah 42 tahun.

Pada 2017 mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas Benjy selepas dia didapati bersalah cuba menyeludup dadah jenis syabu.

Untuk rekod, pelakon drama Kasih Suci itu sebelum ini pernah mewasiatkan agar sekiranya ada apa-apa menimpa dirinya, dia rela disemadikan di Medan saja.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, semua urusan pengebumian Benjy diselesaikan pihak penjara dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Medan.

Menurutnya dia sempat menyaksikan proses pengebumian Benjy melalui siaran langsung melalui video bersama keluarga dan anak pelakon terbbait tengah hari tadi.

“Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan oleh Allah SWT untuk Benjy pulang ke negara abadi.

“Andai ada kesilapan yang pernah arwah lakukan saya memohon semua pihak untuk memaafkan dia dunia dan akhirat.

“Sesungguhnya Benjy adalah seorang manusia yang sangat kuat dan hebat untuk melalui segalanya dengan sendiri sehingga hujung nyawa,” katanya.

Sumber Seniman &MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published.