Luna Maya

VIDEO: Kes tembak TUDM: “Jangan tinggalkan solat” – Pesan arwah Koperal Sharif kepada adiknya

Kota Samarahan: “Jangan lupa solat, ingat Allah setiap masa kerana kita tidak tahu bila masa akan pergi,” demikian pesanan terakhir Koperal Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29, kepada adiknya Sharif Mohd Saddam, 27, sebelum turun bertugas di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan pagi tadi.

Sharif Mohd Saddam berkata, abangnya itu juga berhasrat untuk pergi memancing bersama dalam masa terdekat.

RAKAMAN VIDEO DI BAWAH SEKALI

Dia cukup teruja turun memancing kerana baru membeli joran baru. Kami sekeluarga tidak menyangka abang pergi sekelip mata,” katanya yang ditemui di perkarangan Unit Kecemasan Pusat Jantung Umum Sarawak, Kota Samarahan hari ini.

Katanya, arwah berkhidmat dengan TUDM selama kira-kira 12 tahun dan sebelum ini bertugas di TUDM Kepala Batas, Pulau Pinang sebelum berpindah ke TUDM Kota Samarahan kira-kira dua tahun lalu.

Isterinya baru habis berpantang selepas melahirkan anak ketiga dua bulan lalu.

“Arwah adalah anak kedua daripada tujuh adik beradik meninggalkan seorang isteri dan tiga anak,” katanya.

Sementara itu, rakan setugasnya, Koperal Mohd Nadzmir Mohideen, 28, menyifatkan Sharif mempunyai nilai persahabatan yang cukup tinggi dalam diri.

“Dia adalah sahabat sejati yang senang didampingi serta punya ramai kawan kerana sikapnya yang peramah, malah mudah membantu rakan yang lain.

Saya cukup terkejut sebaik menerima berita kematiannya yang cukup tragis pagi ini,” katanya yang mengenali arwah ketika sama-sama mengikuti kursus TUDM di Perak dan mula rapat ketika berpindah di TUDM Kota Samarahan.

Katanya, ketika bertugas arwah seorang yang cukup berani dan mempunyai disiplin yang tinggi.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM itu, empat anggota TUDM maut dalam kejadian tembakan.

Difahamkan kejadian itu berlaku ketika serah tugas apabila salah seorang anggota menembak tiga rakannya sebelum bertindak menembak diri sendiri.

Dua yang ditembak maut serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan meninggal ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan jam 9.15 pagi.

Terdahulu, pihak polis dedahkan identiti anggota TUDM yg maut dalam kes tembakan.

Kuching: Polis mengenal pasti identiti empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, anggota yang maut terdiri ialah Koperal Udara Ho Swee Boon dari Lundu; Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.

Beliau berkata, maklumat awal kejadian mendapati suspek dipercayai mengamuk dan masuk ke balai pengawal di kem Handau Skuadron 330 seterusnya mengambil senjata api.

“Ketika itu penyelia bertugas adalah Koperal Julaihi. Turut berada di situ adalah Koperal Mohd Saiful Dania, Koperal Jas anak Munap, LU Hezerin Muhd dan LU Afiq Nazmi Rozaidi.

“Suspek sempat bertanya nak hidup atau mati. Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq cuba menenangkan suspek tetapi suspek melepaskan tembakan dan terkena perut Shariff. Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.

TUDM dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada pukul 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.

TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh polis selesai dan satu lembaga penyiasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Tonton Video :

Sumber Harian Metro, Utusan Borneo, I Love Sarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published.